SHAH ALAM, 12 MAC: EXCO Alam Sekitar menzahirkan penghargaan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor kerana berjaya memadamkan kebakaran lereng bukit di kawasan Puncak Jalil, Seri Kembangan semalam.
Jamaliah Jamaluddin berkata penghargaan diberi terutama kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan, BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Subang Jaya.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota JBPM yang bertungkus lumus mengawal serta memadam kebakaran tersebut sepanjang operasi dijalankan.
“Komitmen dan dedikasi anggota di lapangan amat dihargai dalam memastikan keadaan dapat dikawal dengan pantas serta mengelak kebakaran daripada merebak ke kawasan lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Jamaliah menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, terutamanya ketika cuaca panas dan kering yang berpotensi menyebabkan api merebak serta mencetuskan kebakaran lebih besar.

Jelasnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan awam dan keselamatan komuniti setempat.
“Orang ramai digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memantau keadaan serta mempertingkatkan langkah pencegahan,” katanya.
Semalam, berlaku kebakaran di lereng bukit Puncak Jalil, Seri Kembangan hingga menjejaskan kawasan seluas kira-kira 37 hektar.
Ketua BBP Seri Kembangan, Nik Mohd Dzarrin Ghifari Azmy berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.12 petang semalam.
“Operasi pemadaman berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.48 pagi, manakala pemantauan susulan diteruskan pada 9 pagi tadi bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.









