Kes tembak komander AKPS: Anggota perisikan PGA ditahan, disyaki rapat dengan sindiket

12 Mac 2026, 5:07 AM
Kes tembak komander AKPS: Anggota perisikan PGA ditahan, disyaki rapat dengan sindiket

SHAH ALAM, 12 MAC: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata anggota berusia lingkungan 30-an yang bertugas di bahagian perisikan sempadan itu ditahan pada 5 Mac lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum direman tujuh hari, lapor Harian Metro.

"Anggota ini sudah dua tahun bertugas di sempadan, dia adalah perisik, kita tahan dia bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander AKPS berkenaan.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ketamin, namun kita tak tahan dia kerana ambil dadah sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah, hari ini.

Adzli berkata siasatan awal mendapati anggota terbabit mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, siasatan juga mendapati anggota itu berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.

"Maklumat yang kita peroleh menunjukkan dia berkawan rapat dengan ahli sindiket dan dipercayai pernah bersama-sama menghisap dadah.

"Jadi apabila ada maklumat sedemikian, kita tidak akan berkompromi dan perlu menahannya untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata anggota terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam selepas tempoh reman tamat.

Katanya, polis akan mendapatkan perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kaitan anggota berkenaan dengan sindiket yang disyaki terbabit dalam insiden tembakan itu.

"Kes ini sangat serius kerana membabitkan tembakan terhadap anggota penguat kuasa, jadi kita akan siasat secara menyeluruh tanpa mengira sesiapa," katanya.

Adzli berkata, pihaknya akan meminta kerjasama pegawai pemerintah anggota berkenaan sama ada untuk menahan kerja atau tidak berikutan khuatir berlaku kebocoran maklumat atau mengganggu siasatan.

"Suspek antara 11 individu yang kita tahan dan kita merayu kepada orang ramai yang ada maklumat mengenai kes ini dapat menghubungi polis dan boleh maklum kepada saya sendiri secara rahsia," katanya.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, 25 Februari lalu, Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dipercayai ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali.

Mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.