164 rakyat Malaysia dari zon konflik Asia Barat pulang ke tanah air

11 Mac 2026, 12:01 AM
164 rakyat Malaysia dari zon konflik Asia Barat pulang ke tanah air
164 rakyat Malaysia dari zon konflik Asia Barat pulang ke tanah air
164 rakyat Malaysia dari zon konflik Asia Barat pulang ke tanah air
164 rakyat Malaysia dari zon konflik Asia Barat pulang ke tanah air
164 rakyat Malaysia dari zon konflik Asia Barat pulang ke tanah air

​JEDDAH, 11 MAC: Seramai 164 rakyat Malaysia yang terkandas di zon konflik Asia Barat yang menyertai misi pengungsian dijadualkan tiba di tanah air hari ini.

Selain rakyat Malaysia, kumpulan itu juga melibatkan lima warganegara Thailand yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang terjejas serta seorang warga Indonesia.

Kesemua 170 penumpang yang menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11 pagi ini.

​Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Krisis Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Fauzan Amin Misnon berkata mereka dibawa pulang dari empat negara iaitu Arab Saudi (Jeddah), Syria, Jordan dan Qatar (Doha).

​"Proses membawa pulang mereka berjalan lancar hasil kerjasama erat dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia di Jeddah.

"Mereka pulang secara sukarela selepas berdaftar melalui sistem dalam talian yang disediakan Kementerian Luar Negeri (KLN)," katanya yang turut menyertai Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat digerakkan kerajaan itu.

Seramai 164 rakyat Malaysia yang terkandas di zon konflik Asia Barat pulang ke tanah air dalam Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 11 Mac 2026. Foto Facebook BERNAMA

Fauzan Amin berkata secara keseluruhannya semua penumpang berada dalam keadaan baik namun terdapat dua individu yang memerlukan perhatian khusus berikutan masalah kesihatan.

Operasi itu dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua langkah yang perlu digerakkan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.

Sebelum ini, pesawat Airbus 330-300 tersebut selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 8.35 malam waktu tempatan dan hanya diperuntukkan jendela masa yang singkat bagi mengambil penumpang.

MKN menyelaras operasi tersebut dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara berkaitan.

​Penerbangan itu turut disertai wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

​- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.