SHAH ALAM, 10 MAC: Umat Islam di Selangor disaran tidak panik berhubung spekulasi kemungkinan sambutan Aidilfitri lebih awal, sebaliknya memberi tumpuan kepada ibadah ketika memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan.
Penolong Mufti Kanan Bahagian Falak Muhammad Fahmi Mohamad Soen berkata tempoh berkenaan merupakan waktu penting untuk umat Islam memperbanyakkan amalan dan meningkatkan ketakwaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menghormati proses cerapan hilal (anak bulan) Syawal sebelum sebarang pengumuman rasmi mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri dibuat.
“Marilah kita bersama-sama menghormati proses cerapan hilal Syawal dan menunggu pengisytiharan rasmi Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadan 1447H bersamaan Khamis, 19 Mac 2026,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut memaklumkan orang ramai disaran menunggu kenyataan rasmi daripada Pejabat Mufti Negeri Selangor yang dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung perkara itu.
Sejak kebelakangan ini, isu kemungkinan sambutan Aidilfitri lebih awal hangat diperkatakan di media sosial apabila sebahagian pengguna membuat spekulasi mengenai kemungkinan berlaku ‘raya mengejut’.
Perbincangan tersebut timbul susulan pengumuman oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sambutan Aidilfitri di negara berkenaan.









