Mayat warga emas ditemui di tepi jalan di Puchong

10 Mac 2026, 5:04 AM
Mayat warga emas ditemui di tepi jalan di Puchong

SHAH ALAM, 10 MAC: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di tepi jalan berhampiran Taman La Cottage, Taman Putra Perdana, Puchong semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata lelaki tempatan berusia 67 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kenderaan miliknya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah untuk mencari barang-barang terpakai sebelum ditemui terbaring di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Dalam pada itu, Norhizam menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau palsu berkaitan kejadian berkenaan.

“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Major Roslan Rosin di talian 012-3618462.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Balai Polis Putra Perdana di talian 03-80604222 atau IPD Sepang di talian 03-87774222,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.