Batang Kali Care diteruskan, sukarelawan baharu diperlukan

10 Mac 2026, 1:00 AM
Batang Kali Care diteruskan, sukarelawan baharu diperlukan
Batang Kali Care diteruskan, sukarelawan baharu diperlukan

SHAH ALAM, 10 MAC: Program bantuan komuniti Batang Kali Care diteruskan tahun ini bagi membantu penduduk mendapatkan rawatan di hospital, selain membuka pendaftaran sukarelawan baharu untuk memperluas perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berkata inisiatif yang diwujudkan sejak awal perkhidmatannya itu digerakkan dengan kerjasama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) Batang Kali.

Menurutnya, perkhidmatan berkenaan menyediakan bantuan pengangkutan kepada pesakit yang menghadapi kekangan kewangan atau tiada kemudahan untuk hadir ke temujanji hospital.

“Batang Kali Care akan bergerak maksimum tiga kali seminggu ke Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang, dengan syarat pemakluman dibuat sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal kepada pasukan SUKA Batang Kali,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata operasi penuh perkhidmatan tersebut dijadual bermula April 2026, dengan keutamaan diberikan kepada pesakit yang berada dalam keadaan lebih kritikal.

Terdahulu, jadual 2026 dimulakan oleh Koordinator SUKA Batang Kali, Fathul Karib yang membantu seorang penduduk, Azman Hassim, mendapatkan rawatan hospital.

Difahamkan lelaki berusia 35 tahun itu menghidap diabetes dan telah kehilangan sebahagian tapak kaki akibat jangkitan kuman.

Azman juga menanggung keluarga termasuk dua anak, manakala anak sulungnya merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori pembelajaran.

Dalam masa sama, Saifuddin berkata pendaftaran sukarelawan Batang Kali Care akan dibuka kepada orang ramai yang berminat menyumbang tenaga membantu pesakit mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sukarelawan yang terlibat akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi setiap perkhidmatan, tertakluk kepada syarat dan terma yang akan dimaklumkan kemudian.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat tampil menyertai inisiatif tersebut bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan serta memperkukuh budaya kesukarelawanan dalam komuniti setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.