KOTA BHARU, 9 MAC: Polis telah merakam keterangan lebih 10 individu bagi membantu siasatan kes seorang doktor pelatih wanita yang ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik asrama di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata individu yang telah dipanggil setakat ini termasuk ahli keluarga, rakan-rakan serta pensyarah mangsa.
"Setakat ini, polis belum mengesan sebarang unsur jenayah berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Kes ini juga telah diambil alih oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk siasatan yang lebih terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bakul Ramadan An'Nisa kepada 60 asnaf dan ibu tunggal di sini hari ini.
Pada Jumaat lepas, Bernama melaporkan doktor pelatih wanita itu ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat dilapor berkata pihaknya dimaklumkan kejadian pada 9.55 pagi sebelum pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah serta Balai Polis Kuala Krai ke lokasi.
-- BERNAMA








