Pembelajaran interaktif tarik minat penghuni rumah kebajikan dalami ilmu matematik

9 Mac 2026, 8:26 AM
Pembelajaran interaktif tarik minat penghuni rumah kebajikan dalami ilmu matematik
Pembelajaran interaktif tarik minat penghuni rumah kebajikan dalami ilmu matematik
Pembelajaran interaktif tarik minat penghuni rumah kebajikan dalami ilmu matematik

SHAH ALAM, 9 MAC: Program Klinik Algebra EduCourage membantu pelajar meningkatkan kefahaman dalam matematik khususnya topik algebra melalui pendekatan pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan.

Program itu melibatkan puluhan penghuni Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras dengan bimbingan tenaga pengajar sukarelawan EduCourage.

Inisiatif berkenaan dipimpin oleh pempengaruh matematik, Adib Fahim bersama pasukan sukarelawan yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengetua Rumah Kasih Harmoni, Jamaluddin Wahab berkata program itu kali pertama dianjurkan bersama EduCourage dan dilaksanakan dengan baik oleh sukarelawan terlibat.

Menurutnya, kepakaran yang dimiliki pasukan berkenaan dimanfaatkan bagi membantu anak-anak di rumah kebajikan memahami konsep algebra dengan lebih mudah.

Pengetua Rumah Kasih Harmoni, Jamaluddin Wahab. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kelebihan ilmu yang dimiliki oleh pasukan EduCourage telah dimanfaatkan untuk membantu anak-anak di rumah kebajikan ini bagi memahami konsep algebra dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan video yang dikongsikan sepanjang program berlangsung, pelajar kelihatan teruja dan seronok mengikuti sesi pembelajaran.

Program berkenaan dianjurkan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM), wakil Agensi Fokuslah serta Heveatex Sdn Bhd.

Program berkenaan turut mendapat sokongan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) sebagai rakan sokongan dalam meningkatkan kesedaran media terhadap pelaksanaan inisiatif pendidikan.

MSSB turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbang wang tunai serta biskut raya kepada penghuni Rumah Kasih Harmoni.

Sementara itu, Sekretariat Sumber Manusia dan Jalinan NGO PEMADAM Kebangsaan, Rashdan Rasyid berkata usaha sukarelawan seperti ini wajar diperluaskan dan dijadikan contoh bagi manfaat generasi muda khususnya di Selangor.

“Dengan program seperti ini, Rumah Kasih Harmoni dapat dijadikan contoh amalan terbaik bagi pengurusan asrama anak yatim di negeri Selangor,” katanya.

Tambahnya, program berkaitan seni juga berpotensi dilaksanakan pada masa hadapan bagi memberi ruang kepada anak-anak Selangor menyerlahkan bakat mereka.

Ketua Komunikasi Korporat Media Selangor, Mahadi Mohd Mustafa memberi duit raya kepada penghuni asrama Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Sungai Buloh dalam majlis penutup program Klinik Algebra EduCourage pada 8 Mac 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.