PUTRAJAYA, 9 MAC: Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter supaya ia tidak membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran global, namun keadaan di negara ini masih lagi terkawal dengan ketetapan harga RON95 yang rendah menerusi subsidi bersasar.
“Harga minyak hari ini, harga Brent satu barel (tong) sudah naik 100 dolar Amerika.
“Kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk Budi 95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Situasi di Timur Tengah tegang sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Meskipun konflik antara Iran dengan AS dan Israel masih berterusan, Timbalan Menteri Luar Iran Saeed Khatibzadeh bagaimanapun dilaporkan berkata Iran tidak menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan laut penting bagi pengangkutan tenaga global.
Selat Hormuz, selat sempit yang terletak di antara Iran dan Oman dengan kelebaran 55 hingga 95 kilometer itu merupakan antara laluan perkapalan utama bagi sektor industri gas dan minyak dunia.
Anwar menegaskan Malaysia sememangnya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan ganas terutama percubaan menakluk dan menganggu-gugat negara lain.
“(Malaysia) tidak bersetuju dengan keganasan, tidak bersetuju dengan kerakusan kuasa dan percubaan menakluk atau mengganggu-gugat negara lain,” katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri menzahirkan simpati terhadap negara di Timur Tengah yang terkesan dengan krisis ketegangan membabitkan Iran, AS dan Israel ketika ini.
“Saya telah hubungi Menteri Luar Iran (Seyed Abbas Araghchi) meminta supaya dapat sedaya upaya kawal (situasi) supaya hubungan baik antara jiran negara-negara Islam itu terus mantap,” kata beliau.
Anwar turut menasihati rakyat supaya merancang perbelanjaan dan mengamalkan sikap berjimat cermat sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi global.
- BERNAMA









