Bekalan minyak negara cukup, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter

26 Mei 2026, 7:50 AM
Bekalan minyak negara cukup, RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter

BUKIT MERTAJAM, 26 MEI: Bekalan petrol dan diesel negara masih mencukupi ketika ini meskipun konflik di Asia Barat dan keadaan ekonomi global memberi tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, kata beliau, kerajaan turut komited untuk mengekalkan harga minyak RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hubungan baik Malaysia dengan beberapa negara termasuk Iran membantu memastikan laluan bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz berjalan lancar setakat ini.

“Hubungan baik dengan Iran ini membantu bekalan minyak cukup setakat ini, sampai Julai… Insya-Allah, diesel pun cukup walaupun hari itu ada masalah sedikit diesel tiada, naik sedikit harga kerana kita beli daripada luar yang melalui Selat Hormuz. Insurans naik, tambang kapal pun naik.

“Namun setakat ini, minyak RON95 kekal RM1.99,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Perdana Menteri berkata susulan peningkatan kos diesel, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan termasuk program BUDI MADANI bagi membantu golongan petani, nelayan, pengusaha traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan.

Sementara itu, kata beliau, Presiden Iran Masoud Pezeshkian dijadual menghubunginya pada 6 petang ini bagi membincangkan perkembangan semasa susulan konflik yang melanda rantau Asia Barat.

“Hubungan (baik dengan Iran) itu membantu kita. Ketika Iran diserang oleh rejim Zionis Israel, kita lahirkan simpati dan kemudian apabila kita agak susah, kapal minyak kita nak lalu Selat Hormuz. Kita (Malaysia) antara yang pertama yang dapat lepas, jadi kapal kita antara terawal lalu Selat Hormuz dan sampai ke Pengerang (Johor),” katanya.

Anwar berkata Malaysia juga bersyukur kerana keadaan bekalan bahan api negara masih terkawal berbanding beberapa negara jiran yang kini berdepan tekanan lebih serius seperti Filipina.

-- BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, minyak, diesel, mencukupi, subsidi, RON95, Iran

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.