SHAH ALAM, 9 MAC: Isu kesesakan trafik yang berlarutan hampir tiga dekad di Subang Bestari dijangka menemui penyelesaian apabila projek pengalihan Sungai Kedondong kini berada di peringkat akhir reka bentuk.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim berkata langkah itu penting bagi membolehkan pembinaan jalan yang menghubungkan Persiaran Atmosfera dan Kwasa Land Damansara dilaksanakan.
Menurutnya, isu berkenaan merupakan masalah legasi yang berlarutan sejak sekian lama kerana ia melibatkan pengalihan Sungai Kedondong bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan tersebut.
“Isu berkenaan merupakan isu legasi yang berlarutan sejak sekian lama kerana ia melibatkan pengalihan Sungai Kedondong bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan tersebut,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata projek berkenaan sepatutnya dilaksanakan pada 1996 namun tertangguh berikutan beberapa kekangan.
“Projek ini sepatutnya dilaksanakan pada 1996, namun tertangguh berikutan beberapa kekangan termasuk aspek teknikal serta reka bentuk yang perlu diperincikan,” katanya lagi.
Muhammad Izuan memaklumkan hasil perbincangan antara pihak pemaju dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, usaha kini giat dilakukan bagi memuktamadkan reka bentuk pengalihan sungai tersebut.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi membolehkan kerja pengalihan Sungai Kedondong dilaksanakan.
Proses itu sekali gus membuka laluan kepada pembinaan jalan yang dirancang bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah kita berharap projek ini dapat dimulakan tahun ini sekali gus dapat menoktahkan penantian lebih 30 tahun penduduk di kawasan Subang Bestari yang menantikan penyelesaian kepada isu ini,” katanya.









