Iran umum Pemimpin Agung baharu, Mojtaba Khamenei warisi legasi bapanya

9 Mac 2026, 12:45 AM
Iran umum Pemimpin Agung baharu, Mojtaba Khamenei warisi legasi bapanya

TEHRAN, 9 MAC: Mojtaba Khamenei dilapor dilantik sebagai Pemimpin Agung baharu Iran menggantikan bapanya, Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel 28 Februari lalu.

Pelantikan Mojtaba, 56, dimuktamadkan oleh Majlis Pakar Iran ketika konflik ketenteraan di Asia Barat semakin memuncak, dengan badan itu mencapai persetujuan majoriti bagi mengelakkan kekosongan kuasa dalam keadaan negara berdepan ancaman luar.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha Tehran mengekalkan kesinambungan dasar dan ideologi kepimpinan yang diasaskan Ali Khamenei, selain menghantar isyarat tegas terhadap pentadbiran Donald Trump yang kembali menerajui Washington.

Sebelum ini, terdapat perdebatan dalam kalangan pemerhati politik mengenai kemungkinan wujudnya unsur pewarisan kuasa dalam sistem republik Iran. Namun, pengaruh Mojtaba yang lama dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta peranannya di pejabat Pemimpin Agung dilihat menjadi faktor penting dalam keputusan tersebut.

Beliau juga dianggap antara tokoh yang mampu menyatukan kekuatan ketenteraan dan keselamatan negara ketika Iran berdepan tekanan geopolitik serta ancaman keselamatan daripada pihak luar.

Pelantikan itu turut dilihat sebagai tindak balas terhadap kenyataan Trump sebelum ini yang menyifatkan Mojtaba sebagai calon kepimpinan Iran yang tidak boleh diterima oleh Barat.

Beberapa anggota Majlis Pakar dilaporkan menegaskan bahawa antara kriteria utama pemilihan pemimpin baharu ialah individu yang mampu mempertahankan kepentingan negara serta tidak tunduk kepada tekanan musuh luar.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut dijangka meningkatkan lagi ketegangan serantau apabila Israel dan Amerika Syarikat memberi amaran akan terus menyasarkan individu yang mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi Iran.

Di peringkat domestik, Mojtaba dijangka berdepan cabaran besar untuk memperkukuh legitimasi kepimpinannya ketika negara itu berdepan tekanan ekonomi serta ancaman keselamatan yang berterusan.

Pemerhati antarabangsa kini menilai sama ada kepimpinan baharu itu akan membuka ruang kepada rundingan diplomatik atau sebaliknya membawa kepada peningkatan konflik di rantau berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.