SHAH ALAM, 8 MAC: Pendaftaran sukarelawan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 melebihi jangkaan apabila jumlah pendaftaran kini enam kali ganda lebih tinggi daripada sasaran awal, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata setakat hari ini negeri itu telah menerima 30,000 pendaftaran, jauh melepasi sasaran awal sekitar 5,000 sukarelawan, sekali gus mencerminkan sambutan yang sangat menggalakkan, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Kita pada awalnya menyasarkan 5,000 sukarelawan, tetapi kini sudah mencecah 30,000. Kebanyakan yang mendaftar adalah golongan muda yang bersemangat untuk menjadi sukarelawan bagi menyokong Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama aktivis dan pelajar universiti di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.
Amirudin berkata beliau amat teruja dengan sambutan luar biasa itu dan Kerajaan Negeri akan berusaha menampung seramai mungkin sukarelawan bagi memastikan temasya berkenaan dapat diurus dengan baik dan teratur.
Beliau menambah latihan untuk sukarelawan dijadual bermula pada Mei, manakala persiapan bagi atlet dan pengurusan temasya juga berjalan lebih awal daripada jadual.
Sebelum ini pada 11 Februari, dilaporkan Program Sukarelawan SUKMA 2026 menerima sambutan luar biasa apabila 18,000 permohonan diterima dalam tempoh 72 jam selepas pendaftaran dibuka.
Selangor akan menjadi tuan rumah SUKMA edisi ke-22 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, dengan majlis pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Sementara itu, Para SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September 2026.
Mengulas perkembangan persiapan kemudahan sukan, Amirudin berkata kerja-kerja naik taraf sedang berjalan lancar termasuk pengubahsuaian besar-besaran di Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini yang menelan kos sekitar RM40 juta.
“Kita menyasarkan kerja-kerja itu siap menjelang Jun, kira-kira dua bulan sebelum SUKMA. Jadi semua kemudahan akan siap tepat pada masanya,” katanya.
Terdahulu pada majlis yang sama, Amirudin turut menyampaikan insentif kepada 121 atlet Selangor yang menyertai Sukan SEA dan Para Sukan SEA di Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025 sebagai penghargaan atas sumbangan pingat mereka.








