MB: Belia perlu berfikir berasaskan ilmu, bukan prejudis

8 Mac 2026, 2:00 PM
MB: Belia perlu berfikir berasaskan ilmu, bukan prejudis

SHAH ALAM, 8 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa golongan belia memperluas pengetahuan dan memahami budaya serta pandangan berbeza agar tidak mudah dipengaruhi prejudis atau maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan perpaduan.

Beliau berkata dalam dunia yang semakin kompleks, ilmu dan kefahaman amat penting bagi membantu golongan muda menghadapi pelbagai cabaran global termasuk kebangkitan fahaman politik ekstrem dan konflik antarabangsa.

“Dalam dunia hari ini kita melihat perkembangan yang membimbangkan di peringkat global, bukan sahaja peperangan tetapi juga kebangkitan politik ekstrem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama aktivis dan pelajar di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Amirudin turut menegaskan bahawa golongan muda perlu memahami masyarakat dan kepercayaan orang lain melalui ilmu, bukannya berdasarkan cerita atau khabar angin.

“Untuk memahami masyarakat atau kepercayaan orang lain, kita perlu bergantung kepada ilmu dan kefahaman, bukan sekadar cerita atau khabar angin,” katanya.

Menurutnya, pendekatan tersebut mampu melahirkan generasi muda yang lebih yakin dan berfikiran terbuka.

Beliau berkata Selangor sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang mempunyai populasi muda, dengan sebahagian besar penduduk berusia di bawah 40 tahun.

Oleh itu, katanya pembangunan belia menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memperkenalkan beberapa inisiatif bagi meningkatkan akses kepada pendidikan, termasuk menaikkan peruntukan baucar buku daripada RM4,000 kepada RM10,000 bermula 2026 supaya lebih ramai pelajar dapat membeli bahan pembelajaran.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan pendidikan tinggi separa percuma di beberapa institusi terpilih dengan kerajaan menanggung separuh daripada yuran pengajian pelajar.

“Pendidikan adalah kunci kepada pembangunan. Melalui pendidikan, saya yakin Selangor mampu terus maju dan berkembang,” katanya.

Beliau berkata sumbangan Selangor kepada ekonomi negara terus meningkat sehingga mencapai 26.2 peratus pada 2024, justeru pelaburan dalam pembangunan belia dan pendidikan perlu diteruskan.

Amirudin turut menggalakkan golongan muda supaya kekal berfikiran terbuka sambil memperkukuh nilai serta jati diri masing-masing.

“Apabila kita mengukuhkan pegangan sendiri, kita juga perlu membina hubungan dan saling memahami antara satu sama lain supaya masyarakat dapat terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Pada majlis itu, Amirudin turut menyampaikan insentif khas kepada tujuh pemuda yang berjaya menyelamatkan seorang ibu bersama dua anaknya dalam kemalangan di Tasik Biru, Kundang selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam tasik tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.