Peguam gesa perkukuh siasatan, sokongan tangani jurang kes rogol ke mahkamah

8 Mac 2026, 7:06 AM
Peguam gesa perkukuh siasatan, sokongan tangani jurang kes rogol ke mahkamah

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengumpulan bukti yang lebih baik, siasatan khusus serta sokongan kukuh kepada mangsa boleh membantu memastikan lebih banyak kes rogol dibawa ke peringkat pendakwaan.

Peguam jenayah Rajsurian Pillai menjelaskan kesalahan seksual sukar didakwa berikutan kurang bukti dan kebiasaannya berlaku di tempat tertutup atau terpencil tanpa saksi.

“Dalam banyak kes juga tiada rakaman litar tertutup (CCTV), bukti forensik atau DNA, menyukarkan pembuktian kes melampaui keraguan munasabah,” katanya kepada Media Selangor mengulas data terkini jurang antara jumlah kes dilaporkan dan kes yang dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata kelewatan membuat laporan polis juga boleh menjejaskan bukti fizikal atau forensik yang penting untuk membantu siasatan.

Pada 24 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Selangor merekodkan jumlah kes rogol tertinggi di negara ini antara tahun 2015 hingga 2025.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata polis menyiasat 17,609 kes rogol di seluruh negara sepanjang tempoh 11 tahun itu, dengan purata lebih empat kes sehari.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,090 kes didakwa di mahkamah. Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan 3,392 kes, di mana 1,575 daripadanya dibawa ke mahkamah.

Johor di tempat kedua dengan 2,006 kes dan 806 pertuduhan, diikuti Sabah dengan 1,817 kes dan 505 pertuduhan, serta Kedah dengan 1,465 kes dan 465 pertuduhan. Perlis pula mencatat jumlah terendah dengan 275 kes dan 116 pertuduhan.

Rajsurian berkata banyak kes berkisar kepada isu persetujuan (consent), bukannya sama ada hubungan seksual berlaku atau tidak, yang menjadikan proses pembuktian lebih rumit.

“Persetujuan pada asasnya adalah keadaan fikiran, jadi mahkamah sering perlu membuat inferens berdasarkan keadaan sekeliling, tingkah laku serta komunikasi antara pihak terlibat,” katanya.

Sokongan kepada mangsa

Rajsurian berkata mangsa sering berdepan cabaran psikologi sepanjang proses perundangan seperti trauma, yang boleh menjejaskan ingatan dan kadangkala menyebabkan penceritaan tidak konsisten.

“Proses siasatan dan perbicaraan boleh memberi tekanan psikologi. Mangsa perlu menceritakan pengalaman mereka berulang kali semasa siasatan dan di mahkamah, yang tentunya sangat sukar,” katanya.

Beliau berkata sebahagian besar kes di Malaysia turut melibatkan mangsa bawah umur, khususnya kes rogol statutori di mana pihak terlibat mungkin bersetuju, namun mangsa tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memberi persetujuan kerana faktor usia.

Rajsurian berkata dalam sesetengah kes, keluarga mungkin campur tangan dan cuba menyelesaikan sendiri perkara tersebut, sekali gus menyebabkan kes tidak diteruskan.

Menurutnya, sesetengah mangsa juga berasa terhalang untuk meneruskan kes kerana bimbang soal balas agresif di mahkamah, pendedahan awam, stigma sosial serta kemungkinan tindak balas pihak lain.

Bagi memperkukuh pendakwaan, Rajsurian berkata penambahbaikan perlu menumpukan kepada pengumpulan bukti yang lebih awal dan berkesan.

“Pemeriksaan perubatan yang segera, pemeliharaan bukti forensik dengan betul serta akses lebih cepat kepada rakaman CCTV atau bukti digital boleh mengukuhkan sesuatu kes,” katanya.

Beliau turut menggesa latihan berterusan kepada pegawai penyiasat polis yang mengendalikan kesalahan seksual bagi memastikan kenyataan direkodkan secara teliti dan sensitif tanpa menjejaskan butiran penting.

“Sistem sokongan yang lebih baik untuk mangsa juga penting. Penyediaan kaunseling, panduan perundangan dan sokongan sepanjang proses siasatan serta perbicaraan boleh membantu mangsa lebih yakin untuk meneruskan kes.

“Pada akhirnya, budi bicara untuk memulakan pertuduhan di mahkamah terletak pada pihak pendakwa raya,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.