PUTRAJAYA, 22 APRIL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua peguam yang disyaki mengemukakan dokumen dengan butiran palsu untuk pengeluaran dana pemegang amanah bagi projek pembangunan hartanah di ibu negara berjumlah kira-kira RM8 juta untuk kepentingan peribadi dan pelaburan.
Perintah tahanan selama empat hari hingga 25 April itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan pihak SPRM hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada 9.45 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2023 hingga 2025.
“Wang berjumlah kira-kira RM8 juta, iaitu wang amanah yang sepatutnya digunakan bagi penyelenggaraan sebuah bangunan dipercayai masih belum diserahkan kepada pihak pemaju,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA








