SHAH ALAM, 8 MAC: Belum reda kes penjualan tanah kurnia tidak wujud, pelakon wanita dan suaminya kini disyaki pula terlibat dalam kes penipuan mendapatkan darjah kebesaran.
Ketua polis daerah Seremban berkata pihaknya menerima laporan berkaitan modus operandi penipuan dalam urusan darjah kebesaran Terengganu yang tidak wujud pada 18 Disember, lapor Sinar Harian.
Menurut Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mangsa membuat transaksi pembayaran wang proses sebanyak enam kali bermula Januari 2025 hingga November 2025 melibatkan kerugian RM23,120.
"Mangsa seorang lelaki merupakan pesara kerajaan ditawarkan suspek lelaki bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran terbabit yang membawa gelaran Datuk," katanya seperti dilaporkan portal itu.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bawah Sekyen 420 Kanun Keseksaan dan pasangan berkenaan yang tempoh remannya berakhir pada Ahad akan ditahan semula.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan tawaran darjah kebesaran yang tidak wujud.
Sebelum ini, media melaporkan pasangan berkenaan, masing-masing berusia 35 dan 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan penjualan tanah di Selangor membabitkan kerugian RM1.5 juta.
Mereka direman tiga hari bermula 5 Mac sebelum disambung lagi sehari untuk siasatan lanjut.







