PETALING JAYA, 7 MAC: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan pengurniaan beberapa pensijilan pengurusan kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Masjid Nurul Hidayah di sini, hari ini.
Antara pensijilan yang diterima ialah ISO 9001: Quality Management System (QMS), ISO 1900: Shariah Based Management System dan ISO 37001: Anti-Bribery Management System sebagai pengiktirafan terhadap amalan tadbir urus dan integriti yayasan berkenaan.
Pensijilan tersebut diterima daripada Platinum Shauffmantz Veritas (PSV), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor berkata pengiktirafan itu memastikan setiap proses kerja dilaksanakan mengikut prosedur yang jelas, dipantau secara berterusan serta melalui penambahbaikan berkala demi menjamin penyampaian bantuan kebajikan lebih cekap dan tersusun.

“Terima kasih kepada agensi yang mengurniakan sijil ini. Ia menandakan pengurusan YIDE perlu mencerminkan komitmen terhadap pengurusan cekap, telus dan berintegriti.
“Sumbangan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak ini membolehkan YIDE terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan demi memastikan kebajikan anak-anak yatim di Selangor sentiasa terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sumbangan Raya Anak Yatim YIDE-Raja Muda Selangor di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menyempurnakan penyerahan Sijil Lantikan Ketua Sahabat Amal YIDE (K-SAY) kepada sembilan wakil daerah Petaling serta enam wakil Hulu Langat.
K-SAY berperanan menggerakkan usaha kutipan dana kebajikan sepanjang Ramadan bagi menyokong pelaksanaan program bantuan kepada anak-anak yatim di negeri ini.








