YIDE perlukan RM3.1 juta siapkan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah

1 Mac 2026, 8:07 AM
YIDE perlukan RM3.1 juta siapkan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah
YIDE perlukan RM3.1 juta siapkan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah

KLANG, 1 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) masih memerlukan kira-kira RM3.1 juta bagi menyiapkan sepenuhnya Kompleks Asrama Anak Yatim di Pulau Indah yang kini sudah mencapai 86 peratus kemajuan pembinaan.

Pengerusinya, Tan Sri Mazlan Mansor berkata kompleks yang dibina di atas tanah wakaf seluas 3.47 ekar itu menelan kos keseluruhan RM17 juta dan mampu menempatkan sehingga 108 anak yatim lelaki pada satu-satu masa.

“Setakat ini pembinaan telah mencapai 86 peratus dan kita menjangkakan kemasukan kumpulan pertama penghuni pada Januari 2027.

“Bagaimanapun, bagi melengkapkan sepenuhnya pembangunan prasarana serta kemudahan, kita masih memerlukan baki dana kira-kira RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serahan Sumbangan Hari Raya Anak-Anak Yatim 2026 di Masjid Kampung Raja Uda di sini, hari ini yang turut dihadiri Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan hadir pada Majlis Serahan Sumbangan Hari Raya Anak-Anak Yatim 2026 di Masjid Kampung Raja Uda di Klang pada 1 Mac 2026. Foto YIDE

Tambah beliau, YIDE terus mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan sempurna demi kebajikan dan masa depan anak-anak yatim.

“Kami masih menguar-uarkan kepada mereka yang ingin menyumbang kepada pembinaan kompleks asrama ini. Insya-Allah, diharapkan lebih ramai dapat bersama-sama menyokong usaha ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, YIDE turut merancang membangunkan kompleks asrama khas untuk kanak-kanak perempuan sebagai peluasan kepada kemudahan sedia ada.

“Insya-Allah, jika diizinkan, kita juga berhasrat membina sebuah kompleks khas untuk kanak-kanak perempuan,” katanya lagi.

Kompleks asrama anak yatim lelaki itu dijadual dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Hari Keputeraan baginda pada Disember depan.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi menyokong pembinaan serta kebajikan anak-anak yatim boleh menyalurkan sumbangan melalui saluran rasmi YIDE.

YIDE merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia kebajikan anak-anak yatim serta bantuan musibah kepada masyarakat Islam di negeri ini.