Doktor pelatih wanita ditemukan meninggal dunia di bilik asrama

7 Mac 2026, 8:40 AM
Doktor pelatih wanita ditemukan meninggal dunia di bilik asrama

SHAH ALAM, 7 MAC: Seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak hospital jam 9.55 pagi.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama anggota Balai Polis Kuala Krai bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di salah sebuah bilik asrama HSIP Kuala Krai dan mangsa ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

"Pemeriksaan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah," katanya menerusi kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Kuala Krai di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.