YIDE peruntuk RM1.87 juta rai 12,470 anak yatim sempena Aidilfitri

7 Mac 2026, 10:00 AM
YIDE peruntuk RM1.87 juta rai 12,470 anak yatim sempena Aidilfitri
YIDE peruntuk RM1.87 juta rai 12,470 anak yatim sempena Aidilfitri
YIDE peruntuk RM1.87 juta rai 12,470 anak yatim sempena Aidilfitri
YIDE peruntuk RM1.87 juta rai 12,470 anak yatim sempena Aidilfitri
YIDE peruntuk RM1.87 juta rai 12,470 anak yatim sempena Aidilfitri

PETALING JAYA, 7 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntuk RM1.87 juta bagi meraikan 12,470 anak yatim di seluruh Selangor sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor berkata, sumbangan diagih secara berperingkat oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sejak awal Ramadan.

Menurutnya, majlis hari ini adalah siri kelima program sumbangan hari raya anjuran YIDE sepanjang Ramadan 1447H sebelum penutupnya esok di Hulu Selangor.

“Alhamdulillah, secara keseluruhan YIDE menyantuni 12,470 anak yatim di seluruh Selangor serta 35 rumah kebajikan anak yatim yang berdaftar di bawahnya.

“Jumlah keseluruhan peruntukan sumbangan hari raya bagi tahun ini adalah RM1.87 juta, dengan setiap anak yatim menerima RM150 seorang,” katanya.

Pengerusi YIDE Tan Sri Mazlan Mansor ditemui ketika Majlis Sumbangan Raya Anak Yatim YIDE-Raja Muda Selangor di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan pada 7 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Raya Anak Yatim YIDE-Raja Muda Selangor di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan raya kepada 2,424 anak yatim di daerah Petaling dengan peruntukan RM363,600.

Daripada jumlah itu, 570 anak yatim hadir menerima sumbangan melibatkan peruntukan RM85,000 manakala 1,854 anak yatim tidak hadir dan menerima sumbangan yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Pada masa sama, YIDE turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang yang terus komited menyokong usaha kebajikan mereka, antaranya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan sumbangan RM658,665, Chip In Sdn Bhd (RM50,000) serta Yayasan Imanul Fai'izin (RM30,000).

Sementara itu, penerima Muhammad Faris Mohd Azhari, 13, meluahkan kesyukuran dengan sumbangan diterimanya dan bercadang membeli kelengkapan raya.

Muhamad Faris Mohd Azhari, 13, ditemui ketika Majlis Sumbangan Raya Anak Yatim YIDE-Raja Muda Selangor di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan pada 7 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Alhamdulillah, terima kasih atas sumbangan ini. Kali kedua dapat jumpa Raja Muda Selangor, terima kasih Tuanku dan YIDE. Walaupun bapa pergi sejak usia saya dua tahun syukur ada yang prihatin dengan kami,” kata anak bongsu dari enam beradik itu.

Nurdini Batrisya Abd Malik, 12, berkata wang sumbangan itu akan disimpan, seperti dilakukannya dengan bantuan yang diperoleh sebelum ini.

Nurdini Batrisya Abdul Malik, 12, ditemui ketika Majlis Sumbangan Raya Anak Yatim YIDE-Raja Muda Selangor di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan pada 7 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Sumbangan yang dapat saya simpan, guna apabila ada kecemasan. Terima kasih YIDE,” katanya yang kehilangan bapa sejak lima tahun lalu akibat Covid-19.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.