SERDANG, 8 MAC: Deretan mesin pelbagai saiz di Makmal Reka Bentuk Mesin Pemprosesan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi bukti inovasi teknologi yang terus berkembang bagi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).
Ada saiz besar dan tegap, ada juga kecil serta kompak. Apapun saiz dan rekaan, di sebalik semua itu adalah Prof Ts Dr Rosnah Shamsudin yang menjadi tulang belakang seterusnya mengetuai kumpulan penyelidik, menterjemah idea kepada jentera praktikal sekali gus meningkatkan produktiviti usahawan IKS.
Digelar ‘Ratu Mesin’, Profesor Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM itu berkata setiap ciptaan bukan sekadar canggih dan praktikal, tetapi lahir daripada pemahaman mendalam terhadap keperluan sebenar pengusaha.
Beliau berkata, hasilnya kira-kira 80 harta intelek majoritinya mesin, berjaya didaftarkan sejak 2004 malah ada dikomersialkan dan semuanya hasil interaksi rapat dengan pengusaha IKS.

Mengulas lanjut, beliau berkata wanita memiliki potensi besar dalam reka bentuk mesin dan automasi makanan kerana ketelitian, kesabaran dan pemahaman mereka dalam pemprosesan makanan.
Ia bukan sahaja menjadikan teknologi lebih praktikal dan mesra pengguna, tetapi memberi impak nyata kepada komuniti pengusaha IKS.
“Dulu bila tolong mak buat karipap, memang kita fikir juga, alangkah bagus sekali buat, boleh dapat banyak biji terus. Lambat rasanya proses manual. Walaupun tidak pernah sangka akan masuk dalam bidang ini, pengalaman sendiri bantu kita kembangkan idea.
“Setiap rekaan mengambil kira keperluan sebenar pengguna, mudah dikendalikan, kos munasabah, senang disenggara dan sesuai dengan kapasiti operasi kecil. Inovasi yang dibentuk melalui ketelitian dan pemahaman mendalam terhadap masalah dan keperluan komuniti,” katanya kepada Media Selangor.
Inovasi berkembang bantu tingkat produktiviti
Daripada ciptaan pertama mesin pemerah santan kelapa (Coconut AutoSqueezer), inovasi terus berkembang. Daripada mesin pembuat karipap (CurryPuff Maker) yang mampu menghasilkan 12 hingga 15 biji sekali gus, kepada teknologi pemproses lada putih yang lebih pantas, semuanya bagi memudahkan pengusaha IKS dan meningkatkan produktiviti mereka.

Ada juga periuk pelbagai guna (EzyCooker) untuk mengacau dodol, Neudol Maker untuk mengadun muruku, cendol, mee atau laksa, mesin kuih bijan, mesin tat gulung, alat pemotong nenas dan jagung serta mesin mengasingkan isi daripada biji buah dabai (D’Palpa).
Tidak terhenti di situ, beliau dan pasukan turut membangunkan M’SReD, mesin yang mampu mencincang kulit buah-buahan seperti durian, nangka, cempedak dan pisang kepada saiz lebih kecil untuk penghasilan kompos daripada sisa pertanian. Tidak hairanlah ibu kepada empat anak ini digelar ‘Ratu Mesin’.
M’SReD kini dimanfaatkan oleh beberapa komuniti, termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dan Putrajaya. Selain menyokong kelestarian alam, inovasi ini turut menjana sumber pendapatan baharu untuk komuniti melalui penghasilan baja kompos.
Menurut Rosnah, di makmal ini, teknologi bukan sekadar logam dan litar, ia adalah hasil gabungan ilmu, pengalaman lapangan dan komitmen untuk memperkasa ekonomi akar umbi, terutama wanita, ibu tunggal dan belia.
“Kalau mahu bangunkan sesebuah mesin terutama untuk IKS, kita kena faham masalah mereka dan apa yang industri dan pengusaha mahu. Faham sosioekonominya, mesin bagaimana yang mereka mampu.

“Jadi bila kita buat mesin untuk IKS ini, yang pertama mesin itu mesti praktikal untuk mereka, mudah dikendalikan dan mudah diselenggara. Barulah ia memanfaatkan mereka. Sebab itu pentingnya interaksi dengan mereka,” katanya.
Anugerah bukti keupayaan wanita dalam bidang kejuruteraan
Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini dan pasukan penyelidiknya terus membuktikan bahawa inovasi berakar komuniti mampu mengubah kehidupan ramai. Pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa diraih hasil ketekunan mereka.
Antaranya pingat emas di Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi 2022 (ITEX) Kuala Lumpur, diploma pingat emas dan penghormatan Honor of Invention dari World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) di International Invention Show (INOVA), Croatia.
Menurutnya, sebagai wanita dalam bidang kejuruteraan, stereotaip hanyalah persepsi dan ia bukan penghalang, sebaliknya motivasi untuk membuka laluan kepada generasi wanita seterusnya. Semakin ramai wanita kini menceburi bidang itu, membuktikan keupayaan mereka sebagai jurutera, penyelidik dan inovator.
“Untuk menarik lebih ramai pelajar perempuan ke TVET dan bidang kejuruteraan, pendedahan awal, role model wanita, persekitaran pembelajaran selamat, bimbingan kerjaya, sokongan keluarga serta insentif pendidikan sangat penting.

Dengan pendekatan ini, lebih ramai wanita berkeyakinan untuk menceburi kerjaya berkemahiran tinggi, termasuk dalam reka bentuk mesin dan automasi makanan.
Menurutnya, inovasi yang dihasilkan bukan sahaja memacu industri makanan negara, malah menyokong agenda sekuriti makanan dan pembangunan ekonomi mampan Malaysia.
“Matlamat utama saya dalam pembangunan sesebuah mesin adalah untuk membantu pengusaha IKS, terutamanya usahawan wanita, ibu tunggal dan belia, dapat meningkatkan produktiviti serta nilai tambah hasil pertanian tempatan seperti buah-buahan tempatan, herba dan tanaman kontan.
“Selain dapat meningkatkan pendapatan komuniti, mesin ini juga boleh direkacipta dengan konsep lestari iaitu menggunakan tenaga secara cekap, mengurangkan pembaziran dan memanfaatkan sisa pertanian untuk produk hiliran,” katanya.













