HULU LANGAT, 7 MAC: Pembangunan Selangor bukan sekadar menumpukan kemajuan material, sebaliknya turut menitikberatkan pembentukan jiwa dan nilai rohani bagi melahirkan modal insan berkualiti.
Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu penting ketika masyarakat kini berdepan krisis moderniti, iaitu keadaan apabila kemajuan sistem dan teknologi tidak semestinya melahirkan manusia lebih baik dari segi nilai serta akhlak.
Tegas Dato’ Seri Amirudin Shari, pelbagai sistem yang dianggap terbaik dalam dunia moden seperti demokrasi, pendidikan dan pengurusan masih melahirkan individu yang ekstrem, angkuh atau menyalahgunakan kemahiran jika tidak disertai pembentukan jiwa yang kukuh.
“Pendidikan merupakan kunci kepada kejayaan kita hari ini dan masa depan namun ia bukan sahaja untuk melahirkan sumber daya manusia yang berkualiti tetapi juga mempunyai kekuatan jati diri dan kecekalan jiwa.
“Agar dia tidak menjadikan kepintaran, kebijaksanaan, kemahiran atau kepintarannya untuk perkara yang salah kerana jiwanya tidak dibentuk dan tidak dilatih dengan betul,” katanya berucap pada program Qiamullail Perdana, sahur dan Subuh Berjemaah di Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Malaysia (UIS) di sini, hari ini.
Terdahulu, Amirudin bersama kira-kira 300 warga UIS menyertai program berkenaan yang bermula pada jam 4 pagi. Seramai 50 pelajar asnaf universiti itu turut menerima sumbangan duit raya.
Beliau berkata Ramadan memberi peluang kepada umat Islam memperkukuh disiplin diri dan kerohanian, sekali gus membantu membentuk karakter serta nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Katanya, keseimbangan antara pembangunan fizikal, pendidikan dan pengukuhan nilai agama amat penting bagi memastikan generasi yang lahir bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, tetapi juga memiliki kekuatan jiwa untuk menghadapi cabaran dunia moden.
Menyedari perkata itu, katanya Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif bagi memperkukuh pembangunan rohani masyarakat, termasuk program pengajian turath serta pengukuhan tradisi keilmuan Islam di masjid dan institusi pendidikan.
“Bukan hanya kita melakukan pembangunan masjid, tetapi kita juga memperkenalkan program turath, terjemahan kitab-kitab turath dan karya agung dunia bagi membentuk manusia yang cekal, kuat jiwanya dan mampu berdepan dengan cabaran,” katanya.












