PKNS peruntuk RM273,600 jayakan program Ramadan Kasih

6 Mac 2026, 3:24 PM
PKNS peruntuk RM273,600 jayakan program Ramadan Kasih

SHAH ALAM, 6 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntuk RM273,600 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dalam program Ramadan Kasih tahun ini, bertujuan meringankan beban golongan memerlukan dan memeriahkan sambutan Ramadan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Md Kamarzan Md Rais berkata sebahagian daripada peruntukan itu meliputi bantuan tunai RM100,000 kepada dua pusat kebajikan anak yatim.

”Pusat yang menerima sumbangan adalah Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam dan Kompleks Asrama Anak-Anak Yatim Pulau Indah, Klang bagi menyokong operasi dan pembangunan institusi berkenaan.

“Peruntukan ini turut merangkumi pakaian raya dan duit raya untuk 26 anak yatim, barangan keperluan dapur untuk 50 keluarga warga emas fakir miskin, serta 6,000 bekas bubur lambuk percuma untuk orang awam,” katanya.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PKNS) Dato' Mahmud Abbas menyampaikan sumbangan duit raya kepada Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam ketika Majlis iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 6 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Berucap pada Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam petang tadi, Md Kamarzan berkata inisiatif tahunan itu mencerminkan tekad berterusan PKNS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat Selangor.

“Semoga usaha kecil ini dapat membawa kegembiraan kepada penerima sumbangan dan meringankan beban mereka sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya.

Terdahulu, majlis berkenaan dihadiri EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas.

Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam menunjukkan duit raya yang diterima ketika Majlis iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 6 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Majlis yang disertai kira-kira 500 warga PKNS itu turut meraikan 26 anak yatim dengan masing-masing menerima duit raya RM200 yang disampaikan oleh Izham dan Mahmud.

Selain berbuka puasa, majlis turut menampilkan tazkirah bertajuk “Kepimpinan Rabbani Mengemudi Cabaran Semasa, Tegas Pada Prinsip dan Pemurah Pada Bersedekah” oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin.

Solat Isyak dan Tarawih berjemaah kemudian diadakan di Aneka Walk, dipimpin oleh Ustaz Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PKNS) Dato' Mahmud Abbas (kiri) kepada Pengerusi Asrama Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Miskin Sekendi Sabak Bernam Ahmad Bustamam Abd Latiff (dua kanan) ketika Majlis iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 6 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.