Jumlah pelaburan lepasi RM1 trilion sepanjang tiga tahun lepas - MITI

6 Mac 2026, 10:31 AM
Jumlah pelaburan lepasi RM1 trilion sepanjang tiga tahun lepas - MITI

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan di Malaysia sepanjang tiga tahun lepas melepasi paras RM1 trilion, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata pencapaian itu sekali gus mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta tahap keyakinan pelabur yang kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global.

“Bagi tempoh dua tahun, jumlahnya hampir mencecah satu trilion iaitu sekitar RM800 bilion lebih, tetapi jika digabungkan bagi tempoh tiga tahun, jumlah pelaburan keseluruhan telah melepasi RM1 trilion,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menyifatkan Malaysia sebagai antara negara yang menonjol di rantau ini, Sim yakin negara ini akan terus menarik pelaburan berkualiti walaupun berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Tanpa mengira konflik politik, geopolitik dan serantau, Malaysia akan terus kekal sebagai 'bintang' yang menyerlah di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan 2026 merupakan tahun yang mencabar susulan ketidaktentuan berkaitan dasar perdagangan global dan perkembangan geopolitik, termasuk ketegangan di Timur Tengah.

Bagaimanapun, Sim berkata kestabilan politik Malaysia serta kedudukan ASEAN sebagai destinasi pelaburan pilihan akan terus menyokong minat pelabur.

“Saya kekal optimis namun berhati-hati bagi 2026, dengan momentum daripada rekod pelaburan tiga tahun lepas dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi," katanya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) baru-baru ini mengumumkan Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM426.7 bilion pada 2025, iaitu paras tertinggi pernah direkodkan.

Jumlah itu meningkat 11 peratus berbanding RM384.4 bilion pada 2024, sekali gus menunjukkan pertumbuhan berterusan dalam persekitaran ekonomi global yang kekal berhati-hati.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.