Isteri mengaku salah rompak suami sendiri, libat kerugian RM500,000

6 Mac 2026, 8:21 AM
Isteri mengaku salah rompak suami sendiri, libat kerugian RM500,000

SHAH ALAM, 6 MAC: Wanita warga tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan berpakat melakukan rompakan berkumpulan terhadap suaminya sendiri membabitkan kerugian RM500,000 di Pasir Gudang pada 24 Februari lalu.

Tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53, berketurunan Pakistan membuat pengakuan itu bersama seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan, Muhammat Rashid Ismail, 30, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan rompakan berkumpulan kira-kira jam 12 tengah hari pada 24 Februari lalu di kawasan tempat letak kereta di belakang Bank Islam, Pusat Perdagangan Pasir Gudang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan pertuduhan melakukan pakatan jenayah di bawah Seksyen 120B(1) kanun yang sama dibaca bersama Seksyen 395.

Terdahulu, Muhammat Rashid menarik perhatian ramai apabila tiba di perkarangan mahkamah dengan menggunakan kerusi roda, berkain pelikat serta membawa beg air kencing, lapor Berita Harian.

Shameem Begum pula dilihat memakai tudung merah dan pelitup muka ketika hadir ke mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afdhallan Syafiq Azmy, manakala Muhammat Rashid diwakili peguam Hafez Zalkapli. Shameem Begum tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan terhadap Muhammat Rashid atas faktor kesihatan memandangkan tertuduh merupakan seorang OKU.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang dan menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.