SHAH ALAM, 6 MAC: Sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) tanpa kebenaran terbongkar dalam Operasi Bersepadu Kilang Tanpa Kebenaran yang dijalankan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di sekitar Jeram, semalam.
Operasi bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu melibatkan kira-kira 50 anggota penguat kuasa daripada pelbagai jabatan dan unit MPKS, yang memeriksa empat premis kilang di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis di Batu 21, Jeram menjalankan aktiviti melerai kabel selain memproses perabot dan besi tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Premis berkenaan dikenakan dua kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007.
“Selain kompaun, satu notis pemberhentian perniagaan turut dikeluarkan dan premis berkenaan telah ditutup,” menurut kenyataan MPKS.
Dalam tindakan sama, MPKS turut menyita beberapa peralatan yang digunakan di premis tersebut termasuk mesin pemotong kabel, mesin pengasah, penimbang digital, pemotong besi serta sebuah forklift.

Selain itu, sebuah kilang yang dipercayai memproses barangan kitar semula elektronik di Jalan Simpang Tiga Jeram turut diperiksa namun premis berkenaan didapati telah dikosongkan dan tidak lagi beroperasi.
"Walaupun tidak beroperasi, tindakan penutupan premis tetap dilaksanakan dengan Jabatan Kawalan Bangunan mengeluarkan satu kompaun dan satu notis di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Di lokasi ketiga di Jalan Klang Sungai Janggut, Batu 14 1/2, pemeriksaan turut mendapati kilang memproses barangan kitar semula plastik telah dikosongkan dan tidak beroperasi," katanya.
MPKS turut menutup premis berkenaan, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Air Selangor melakukan semakan pemilikan meter air selain mengambil tindakan merampas meter air di premis terlibat.
Tegasnya, operasi penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dan perindustrian di daerah Kuala Selangor mematuhi undang-undang yang ditetapkan.








