SHAH ALAM, 6 MAC: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mencabar pihak yang menuduh baginda terlibat dalam pemalsuan dokumen pemain warisan skuad Harimau Malaya supaya membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya mempunyai bukti.
“Setuju! Saya ada cadangan yang lebih baik. Beramai-ramai bawa saya ke mahkamah dengan apa juga bukti. Silakan,” titah baginda menerusi ciapan di akaun rasmi X baginda, @HRHJohorII.
Cabaran itu dipercayai dikemukakan susulan tuduhan seorang pengguna media sosial di platform X yang mendakwa Tunku Mahkota Johor (TMJ) perlu bertanggungjawab berhubung isu berkaitan pemain warisan dalam skuad kebangsaan.
Pengguna berkenaan turut mempersoalkan kenyataan terdahulu yang dikaitkan dengan isu akaun X digodam berhubung pengumuman mengenai penemuan pemain warisan untuk skuad Harimau Malaya.
Netizen tersebut turut memetik hantaran di akaun X baginda bertarikh 11 Januari 2025, yang masih boleh diakses, apabila baginda merayu kepada kerajaan agar membantu mendapatkan pasport bagi pemain kelahiran luar negara supaya mereka dapat mewakili negara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
“Adalah penting bagi Harimau Malaya untuk memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” menurut hantaran tersebut.
Isu itu timbul selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) semalam mengekalkan penggantungan tujuh pemain warisan negara selama 12 bulan, seperti diputuskan sebelum ini oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun, penggantungan tersebut hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS turut mengesahkan rayuan yang dikemukakan secara bersama oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditolak, manakala keputusan FIFA untuk mengenakan denda CHF350,000 (RM1.76 juta) kepada badan induk bola sepak negara itu kekal berkuat kuasa.
Dalam pada itu, ciapan baginda turut dihujani pelbagai komen netizen dengan antaranya ada yang bertanya sama ada cabaran tersebut perlu dibawa ke mahkamah di Malaysia.
Baginda bagaimanapun menjawab ringkas: “Mana-mana boleh, Encik.”
Ciapan itu mendapat perhatian warganet dan mencetuskan pelbagai reaksi susulan perbincangan mengenai status pemain warisan dalam skuad kebangsaan.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.








