Kongres pemilihan FAM dijangka Ogos atau September ini

17 Mac 2026, 5:26 AM
Kongres pemilihan FAM dijangka Ogos atau September ini
Kongres pemilihan FAM dijangka Ogos atau September ini

SHAH ALAM, 17 MAC: Kongres pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka berlangsung sekitar Ogos atau September ini selepas Piala Dunia 2026.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John berkata proses itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa kelulusan penting termasuk daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC sendiri.

Menurutnya, FAM perlu terlebih dahulu mengadakan kongres luar biasa yang dijangka berlangsung pada awal Jun ini bagi meluluskan pindaan statut organisasi itu.

“Bagaimanapun, masih banyak proses perlu diselesaikan termasuk mendapatkan kelulusan daripada FIFA dan AFC, menjadikan beberapa perkara penting masih dalam penelitian.

“Kongres luar biasa itu disasarkan selesai sebelum Piala Dunia, manakala kongres pemilihan pula dijangka berlangsung selepasnya, sekitar Ogos atau September, tanpa mahu melengahkan tempoh FAM beroperasi tanpa Jawatankuasa Eksekutif,” katanya lapor Utusan.

Windsor menambah proses audit yang dibuat sejak sebulan lalu menunjukkan perkembangan positif meski separuh penilaian baharu dibuat.

“Kita sudah meneliti pelbagai aspek pentadbiran dan penstrukturan dalam FAM termasuk sumber manusia, pekerja, kewangan, pemasaran dan status perlembagaan.

“Ini baru separuh daripada penilaian dan kami jangka laporan penuh mengenai audit ini akan siap tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini, keseluruhan barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 mengambil keputusan meletakkan jawatan Januari lalu susulan kontroversi pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.