SHAH ALAM, 6 Mac: Kesemua individu yang ditahan dalam kejadian kekecohan dan pergaduhan di Balai Polis Meru pada Isnin lalu didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk kes bunuh, cubaan bunuh, samun berkumpulan dan pecah rumah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata semua mereka juga didapati saling mengenali dan mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap, dengan salah seorang daripadanya turut berada dalam senarai individu dikehendaki polis.
Mengulas lanjut kejadian itu, beliau berkata ia dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan kawalan keselamatan di sebuah tapak perumahan.
Polis telah melakukan tiga siri tangkapan berangsingan bagi melengkapkan siasatan terhadap insiden berkenaan, tambahnya lagi.
“Tangkapan pertama melibatkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang direman selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Mac.
“Tangkapan kedua pula membabitkan dua lelaki berusia 39 hingga 44 tahun yang turut direman sehingga esok, manakala tangkapan ketiga melibatkan seorang lelaki berumur 38 tahun yang direman bermula hari ini hingga 7 Mac,” katanya dilapor RTM.
Polis turut merampas satu topi keledar berwarna hitam dan sebatang besi paip dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencabar kedaulatan institusi kepolisan serta menggugat ketenteraman awam.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Balai Polis Meru yang terletak di lot kedai tidak mempunyai kawasan keselamatan berpagar seperti kebanyakan balai polis lain.
Menurutnya, keadaan itu menjadi antara faktor yang memudahkan kejadian tidak diingini berlaku dan pihak polis akan meneliti langkah penambahbaikan dari segi kawalan keselamatan.
“Struktur balai ini agak terhad dan hanya mempunyai pintu hadapan yang terus ke pejabat pertanyaan.
“Kita akan memperkemas aspek keselamatan supaya orang awam yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan atau urusan lain sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.








