Polis siasat dakwaan konspirasi jatuhkan kerajaan libatkan individu berpengaruh

27 Feb 2026, 3:35 AM
Polis siasat dakwaan konspirasi jatuhkan kerajaan libatkan individu berpengaruh

SHAH ALAM, 27 FEB: Polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara dipercayai membabitkan seorang individu tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan siasatan itu dibuat susulan satu laporan polis diterima pihaknya semalam.

Menurutnya, siasatan itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara proses melengkapkan siasatan berjalan.

“Siasatan masih diteruskan dan masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.

Apa reaksi anda?