SHAH ALAM, 2 MAC: Polis akan memanggil individu dikenali sebagai Arun Dorasamy bagi membantu siasatan susulan lapan laporan diterima berhubung kenyataannya berkaitan isu perobohan kuil di Rawang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata setakat ini laporan dibuat oleh pelbagai individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan dikeluarkan individu berkenaan.
"Kita sedang jalankan siasatan dan kes dirujuk sebagai ROR (refer other report) iaitu merujuk kepada kes awal perobohan (kuil) tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini seperti dilapor Harian Metro.
Mengulas isu perobohan struktur tanpa kebenaran di atas tanah milik penuh Yayasan Kubra itu, beliau berkata polis turut menerima satu laporan daripada pihak pengurusan kuil selepas proses perobohan dijalankan secara baik dan terkawal.
Dalam perkembangan berasingan, Shazeli berkata polis masih menunggu laporan forensik digital bagi melengkapkan siasatan kes membabitkan 12 anggotanya yang disyaki terbabit dalam rompakan mata wang kripto bernilai kira-kira RM200,000, bulan lalu.
"Kami masih menunggu arahan pihak penasihat PDRM, kami masih menunggu laporan forensik digital...masih dalam peringkat siasatan dan belum lengkap.
"Mereka juga direhatkan daripada tugas-tugas aktif di lapangan," katanya.
Pada 19 Februari lalu, media melaporkan 12 anggota polis ditahan termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang Asisten Superintendan, seorang Inspektor, seorang Sarjan, enam Koperal, dua Lans Koperal dan seorang Konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.
Penahanan dibuat susulan laporan polis oleh seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia bersama tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto sebagai syarat pembebasan selepas banglo yang disewa mereka di kawasan berpagar di Country Heights, Kajang diserbu polis.








