SHAH ALAM, 5 MAC: Program Ihya’ Ramadan yang menyediakan 4,000 bubur lambuk kepada komuniti setempat menjadi platform kepada agensi negeri untuk menyantuni masyarakat, khususnya golongan sasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) Edi Zuhri Abd Rahim berkata program melibatkan kerjasama Media Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) itu mampu menyemai nilai kebersamaan sekali gus menyemarakkan keberkatan Ramadan.

“Dengan memasak, mengagihkan bubur ini, kita dapat berkongsi rezeki malah turut memperkukuh silaturahim serta semangat kerjasama warga kerja, rakan strategik dan komuniti setempat.
“Semoga sumbangan kecil ini dapat menceriakan penerima dan menjadi asbab keberkatan,” katanya berucap merasmikan program berkenaan di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 hari ini.

Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya menyumbang kira-kira RM6,000 bagi menjayakan program terbabit.
“Kali ini MAIS bersama-sama memasak bubur lambuk yang akan diagihkan kepada kariah-kariah sekitar ini. Kakitangan MAIS turut terlibat dalam proses penyediaan juadah sejak pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YAWAS Gan Pei Nei berkata program menyediakan bubur lambuk itu dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 20 orang warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas Paya Jaras.
Katanya, penyertaan mereka menjadi pendekatan untuk agensi negeri menjalinkan hubungan lebih erat dengan golongan terbabit.
“Ini satu langkah yang baik terutama dijalankan ketika bulan Ramadan. Kita dapat manfaatkan peluang untuk lebih rapat dengan mereka,” katanya.
Kerja gotong royong memasak bubur lambuk sejak awal pagi tadi turut mendapat bantuan daripada pihak pengurusan Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, dekat sini selain sukarelawan dalam kalangan kakitangan agensi terlibat.













