SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki cuba mencuri kabel di kawasan landasan kereta api di KM 37.478 sektor Telok Gadong–Teluk Pulai, Klang pada petang semalam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan suspek ditahan anggota Polis Bantuan yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sekitar jam 6.45 petang.
"Suspek yang mencurigakan cuba melarikan diri apabila didekati namun berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg kecil, sebilah pisau dan gunting bersama suspek," menurut kenyataan KTMB di Facebook.
Susulan tangkapan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dihubungi sebelum unit kereta peronda (MPV) tiba di lokasi.
Suspek bersama barang bukti kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
KTMB memaklumkan perbuatan menceroboh serta merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Menurut syarikat itu, Pasukan Polis Bantuan KTMB akan terus mempergiat rondaan keselamatan bagi memastikan infrastruktur landasan sentiasa terpelihara selain menjamin kelancaran operasi tren.
“KTMB memandang serius sebarang pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan operasi tren dan perkhidmatan kepada penumpang,” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 atau balai polis berhampiran.








