SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang lelaki cedera parah dalam kejadian tembakan di Taman Sri Kapar, Klang, dekat sini pagi tadi.
Bagaimanapun, dua suspek yang menaiki motosikal turut cedera selepas dirempuh orang awam yang menyaksikan kejadian itu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan awal mendapati dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori, lapor Berita Harian.
Beliau berkata sebuah kenderaan pacuan empat yang berada berhampiran lokasi dan menyaksikan kejadian itu kemudian merempuh suspek yang melepaskan tembakan, sehingga menyebabkan mereka cedera.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman memaparkan seorang lelaki terbaring di lokasi kejadian, selain kelihatan anggota polis menjalankan siasatan. Bagaimanapun, lokasi kejadian tidak dinyatakan dalam rakaman tersebut.
“Saya mengesahkan kejadian itu berlaku. Siasatan awal mendapati ia berlaku antara jam 9 hingga 9.30 pagi tadi. Saya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung kes ini.
“Setakat ini kita masih belum dapat mengesahkan tahap kecederaan suspek kerana siasatan masih dijalankan. Itu situasi semasa dan saya tidak boleh mengulas lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Shazeli berkata pasukan forensik dari IPK Selangor bersama pegawai penyiasat masih berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Kita juga belum dapat mengesahkan identiti dan butiran suspek. Selepas siasatan forensik di lokasi selesai, barulah kita dapat mengesahkan identiti, rampasan serta motif kejadian,” katanya.








