SHAH ALAM, 4 MAC: Panggilan khas bagi membuka pintu rumah berkunci di sebuah pangsapuri di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, semalam, membawa kepada penemuan mayat seorang wanita warga emas dan seorang lelaki dipercayai anaknya.
Difahamkan, jiran menghubungi pihak berkuasa selepas terhidu bau busuk dari kediaman berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata panggilan diterima pada jam 7.48 malam.
Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau diketuai Mohamad Nizar Ibrahim bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Panggilan diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memohon bantuan membuka pintu rumah berkunci dari dalam dan dipercayai terdapat mangsa di dalam rumah itu.
“Pasukan bomba bertindak membuka pintu menggunakan peralatan khas bersama polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, dua mangsa ditemukan masing-masing di ruang tamu dan bilik tidur dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 10.55 malam.








