Jaulah Ramadan Selangor: MB, Fadhlina jelaskan pelan pendidikan 2026–2035

3 Mac 2026, 2:19 PM
Jaulah Ramadan Selangor: MB, Fadhlina jelaskan pelan pendidikan 2026–2035

GOMBAK, 3 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menghadiri Program Jaulah Ramadan peringkat Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, hari ini.

Program itu dimulakan dengan sesi penerangan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Dr Mohd Azam Ahmad mengenai hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 kepada guru, pelajar serta komuniti setempat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap di Majlis Program Jauhlah Ramadan di SMK Sungai Pusu Gombak pada 3 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Fadhlina dan Amirudin turut mengulas perancangan pelan pendidikan baharu itu serta menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.

Kedua-dua pemimpin kemudian berbuka puasa bersama peserta sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sedang menyampaikan duit raya kepada pelajar SMK Sungai Pusu di Majlis Program Jauhlah Ramadan di SMK Sungai Pusu Gombak pada 3 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bertujuan mengeratkan hubungan antara warga kementerian dan masyarakat melalui pengisian kerohanian, kebajikan dan pendidikan.

Antara yang hadir ialah pengurusan tertinggi KPM, pegawai kementerian, warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta komuniti setempat.

Pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan RPM 2026–2035 di Putrajaya sebagai pelan reformasi pendidikan melibatkan KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membina generasi lebih berdaya saing dan berteraskan nilai.

Apa reaksi anda?