SHAH ALAM, 3 MAC: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah gudang di Subang Jaya yang dipercayai menjalankan operasi perniagaan peralatan kesihatan secara tertutup dan dikendalikan warga asing.
Dalam operasi semalam, seramai lapan warga China terdiri daripada seorang lelaki dan tujuh wanita ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Siasatan awal mendapati gudang tersebut dijadikan pusat pameran dan penjualan produk kesihatan dengan menyasarkan pelanggan daripada kewarganegaraan yang sama, khususnya pelancong asing dari China.
“Aktiviti perniagaan dipercayai dijalankan secara tersusun dan tertutup, dengan anggaran keuntungan antara RM200,000 hingga RM400,000 sebulan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam operasi berasingan di Sepang, JIM menahan lima lelaki dan seorang wanita warga China kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di restoran makanan Cina.
Selain itu, katanya, seramai 16 warga Myanmar turut ditahan dalam operasi berkenaan kerana disyaki bekerja tanpa pas yang sah.
“Semua 30 individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 62 tahun dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.










