50 pelajar kurang berkemampuan teruja pilih baju raya baharu

3 Mac 2026, 1:00 PM
50 pelajar kurang berkemampuan teruja pilih baju raya baharu

SHAH ALAM, 3 MAC: Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat 50 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan apabila mereka berpeluang memilih sendiri baju raya yang diimpikan selama ini.

Suasana di butik Gio Fabrics di sini, hari ini dipenuhi senyuman dan keterujaan apabila mereka bebas memilih set baju Melayu dan baju kurung bernilai RM200 seorang menerusi Program Jom Beli Baju Raya Bersama Golongan Kurang Berkemampuan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi Ummu Atiyyah Mihrimah, 11, pengalaman itu amat bermakna kerana sebelum ini dia tidak pernah memiliki pakaian raya baharu yang diidamkan.

"Saya rasa gembira sangat sebab dulu tak pernah ada baju raya cantik macam ini. Sekarang dapat baju baharu, saya rasa bersyukur," katanya kepada Media Selangor.

Seorang lagi penerima, Muhammad Iman Hidayatullah Hussin, 16, bersyukur kerana bantuan itu dapat meringankan beban keluarga terutama bapanya.

Kesemua penerima teruja menerima bantuan pakaian raya baharu menerusi Program Jom Beli Baju Raya Bersama Golongan Kurang Berkemampuan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Gio Fabrics, Seksyen 16, Shah Alam pada 3 Mac 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

"Biasanya saya pakai baju lama setiap kali Aidilfitri. Namun kali ini saya berpeluang membeli songkok, baju Melayu dan samping berwarna hitam.

"Saya rasa gembira sebab ayah sudah tak perlu beli pakaian raya untuk saya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Abu dan Aleeyah Maisarah masing-masing berusia tujuh tahun turut meluahkan kegembiraan apabila berpeluang memiliki pakaian baharu menjelang Syawal.

"Rasa gembira dapat baju raya baharu. Harap raya nanti dapat banyak duit raya," kata mereka.

Dalam pada itu, MBSA berharap program berkenaan bukan sahaja membawa kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan, malah menyemai semangat muhibah, kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.