Namaste Malaysia 2026 perkukuh hubungan dua hala, kolaborasi dalam pendidikan, perniagaan

3 Mac 2026, 5:12 PM
Namaste Malaysia 2026 perkukuh hubungan dua hala, kolaborasi dalam pendidikan, perniagaan
Namaste Malaysia 2026 perkukuh hubungan dua hala, kolaborasi dalam pendidikan, perniagaan

SHAH ALAM, 3 MAC: Kolaborasi dua hala antara Malaysia dan India membuka lembaran baharu menerusi penganjuran Namaste Malaysia 2026 Presidential Visit yang dijadual berlangsung Jun ini sempena World Environment Week.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata program bertemakan “Engineering Solidarity, Sustainability and Spiritual Harmony” itu bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara melalui pendekatan Climate Happiness Diplomacy.

Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Atmanirbhar Bharat yang digagaskan India serta kerangka Malaysia MADANI dalam memperkukuh pembangunan mampan dan kesejahteraan sejagat.

“Program ini turut membuka ruang kolaborasi dalam bidang perniagaan, pendidikan, teknologi, budaya serta peluang pelaburan strategik, termasuk pembangunan bandar baharu Amarawadi di Andhra Pradesh,” katanya kepada Media Selangor.

Antara fokus utama program ialah pelancaran ENTRON World Sustainability University (EWSU) serta penganjuran Rethinking Sustainability Conclave 2026 yang dijangka menjadi platform perbincangan agenda kelestarian global.

Selain itu, cadangan pengukuhan kerjasama strategik turut melibatkan aspek pelaburan dan pembangunan mampan yang memberi manfaat bersama kepada Malaysia dan India.

Papparaidu menegaskan Selangor tidak mempunyai halangan untuk menyokong penganjuran program berkenaan dan bersedia membantu dari aspek pengurusan serta logistik.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan segala perancangan perlu melalui saluran rasmi Kerajaan Persekutuan termasuk Wisma Putra dan peringkat Perdana Menteri.

“Segala pertimbangan dan kehadiran saya ke program jemputan ini adalah berdasarkan kepentingan negeri dan negara. Saya melihat ini sebagai peluang baharu untuk generasi muda dalam bidang teknologi, pendidikan dan inovasi sambil memperkukuh hubungan diplomatik,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pihak penganjur menjemputnya memainkan peranan kepimpinan bersama dalam jawatankuasa sambutan serta World Spiritual Sustainability Conclave & Interfaith Round Table 2026, sekali gus memberi sokongan rasmi terhadap cadangan lawatan Presiden India ke Malaysia.

"Program tersebut masih berada di peringkat awal perancangan, dengan draf rasmi dijangka diterima dalam masa terdekat, sementara lawatan dijangka sekitar Jun 2026," jelasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.