SHAH ALAM, 3 MAC: Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri tabung Masjid Seksyen 7 minggu lalu.
Tertuduh ialah pekerja pusat cuci kereta, K Tineshuaran, 26; kelindan lori, R Nishanraj, 22; dan operator kilang, R Danesh, 27, lapor Sinar Harian.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara tambahan tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mencuri tabung jenis keluli tahan karat milik masjid berkenaan bernilai RM2,000 pada jam 4 pagi, 22 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun yang turut mengaku bersalah akan dijatuhi hukuman selepas laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan pada 28 April depan.
Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan hukuman. Prosiding terhadapnya dijalankan secara tertutup.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Swinder Singh dan Ashrul Haikal manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khawarizmi Azfar.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar memaklumkan siasatan mendapati kes berkenaan tidak mempunyai unsur provokasi, sebaliknya suspek dipercayai bertindak kerana terdesak memerlukan wang.
Kes itu turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan penghargaan kepada polis negeri atas tindakan pantas menahan pelaku.








