Sultan puji tindakan pantas polis, titah hukuman tegas curi tabung masjid

28 Feb 2026, 12:28 PM
Sultan puji tindakan pantas polis, titah hukuman tegas curi tabung masjid

SHAH ALAM, 28 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu individu yang didapati bersalah berkait kecurian tabung masjid di Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini menerima hukuman setimpal berlandaskan undang-undang.

Istana Alam Shah menerusi kenyataan memaklumkan Baginda bertitah, tindakan tegas penting sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua pihak bahawa sebarang perbuatan yang mencemarkan kesucian rumah Allah SWT dan mengkhianati amanah umat tidak akan dipandang ringan.

“Baginda berharap semoga kejadian ini menjadi iktibar bersama dan terus memperkukuh kesedaran masyarakat untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan kemuliaan masjid sebagai institusi agama yang suci dan dihormati,” titah Baginda menerusi kenyataan di laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan syabas kepada pasukan polis Selangor, khususnya kepada Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol.

Ia atas tindakan pantas dan berkesan sehingga berjaya menahan pelaku di sebalik kejadian kecurian tabung masjid berkenaan.

Baginda memandang serius kejadian itu tanpa mengira siapa pun dalang di sebaliknya kerana wang yang dikumpulkan menerusi tabung itu adalah amanah umat Islam, hasil sumbangan ikhlas jemaah untuk kebajikan, pengimarahan rumah Allah SWT serta membantu golongan yang memerlukan.

“Amanah ini tidak boleh sama sekali dikhianati atau disalahgunakan,” tegas Baginda.

Baginda turut berasa sukacita kerana pelaku yang terlibat berjaya ditangkap hasil kerjasama erat antara pihak polis, ahli jawatankuasa masjid dan jemaah setempat yang peka serta bertanggungjawab.

Titah Baginda lagi, semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat inilah yang menjadi benteng utama dalam memelihara kesucian institusi masjid.

Baginda berharap kejadian itu menjadi iktibar bersama dan terus memperkukuh kesedaran masyarakat untuk menjaga, memelihara dan mempertahankan kemuliaan masjid sebagai institusi agama yang suci dan dihormati.

Rabu lalu, Shazeli memaklumkan polis menahan empat suspek yang disyaki terbabit dalam kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7, Shah Alam, di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4 dan D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25.