SHAH ALAM, 3 MAC: Permohonan Program Bantuan Yuran Pengajian IPTA/IPTS 2026 bagi pelajar komuniti India B40 kini dibuka sehingga 13 Mac ini.
Inisiatif itu terbuka kepada warganegara Malaysia berketurunan India yang lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun di negeri ini.
Selain itu, pemohon hendaklah berusia tidak melebihi 25 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan. Syarat lain menetapkan pemohon serta ibu bapa atau penjaga merupakan pengundi berdaftar di Selangor.
Program dikhususkan kepada pelajar yang sedang mengikuti pengajian secara sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh Malaysia yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sahaja.
Bagaimanapun, hanya pelajar Ijazah Sarjana Muda tahun pertama dan kedua serta Diploma tahun pertama sahaja layak memohon dan dipertimbangkan.
Pemohon yang menerima biasiswa atau bantuan kewangan penuh di bawah Kerajaan Negeri atau lain-lain institusi pembiayaan atau tajaan adalah tidak layak menerima bantuan ini.
Pemberian bantuan adalah secara sekali bayar (one-off) kepada setiap pemohon sepanjang tempoh pengajian sama ada di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Diploma.
Penerimaan borang yang lengkap oleh pihak urus setia hendaklah dibuat sebelum atau selewatnya pada 13 Mac (Jumaat) jam 11 pagi secara serahan tangan sahaja.
Permohonan yang tidak lengkap atau lewat akan dikategorikan sebagai permohonan gagal dan sebarang rayuan pelanjutan tempoh masa tidak dilayan.
Borang permohonan boleh diperoleh secara dalam talian dengan mengimbas kod QR yang disertakan atau di Pejabat EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pejabat EXCO di talian 03-5544 7307 atau 03-5521 2544, atau e-mel ke excoofficepapparaidu@gmail.com








