'Hanya jumpa di bulan Ramadan' antara sebab rakyat Malaysia belanja lebih

6 Mac 2026, 1:00 AM
'Hanya jumpa di bulan Ramadan' antara sebab rakyat Malaysia belanja lebih
'Hanya jumpa di bulan Ramadan' antara sebab rakyat Malaysia belanja lebih
'Hanya jumpa di bulan Ramadan' antara sebab rakyat Malaysia belanja lebih
'Hanya jumpa di bulan Ramadan' antara sebab rakyat Malaysia belanja lebih

SHAH ALAM, 6 MAC: Rakyat Malaysia didapati berbelanja lebih tinggi sepanjang Ramadan berbanding bulan lain, dan ia bukan semata-mata kerana lapar, sebaliknya dipengaruhi jangkaan sosial, norma budaya serta kempen pemasaran, kata Pensyarah Bersekutu Jabatan Pengurusan dan Pemasaran Universiti Malaya, Dr Ezlika M. Ghazali.

Beliau berkata, berbuka puasa sering dilihat sebagai acara komuniti dan bukan sekadar waktu makan, menyebabkan ramai membeli lebih daripada keperluan bagi memastikan hidangan mencukupi serta mempunyai pelbagai pilihan.

“Jika saudara-mara, rakan datang atau jiran berkongsi makanan, ramai merasakan mereka perlu menyediakan pilihan yang banyak, lalu membeli melebihi keperluan sebenar,” katanya kepada Media Selangor.

Tinjauan Media Selangor ke Bazar Ramadhan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurutnya, tekanan masa, promosi bermusim dan persepsi bahawa sesuatu produk hanya tersedia dalam tempoh terhad turut mendorong pembelian secara impulsif.

“Banyak pembelian berlaku hampir waktu berbuka ketika orang ramai lapar dan letih. Dalam keadaan itu, mereka cenderung melebihkan anggaran jumlah makanan yang akan dimakan serta terdorong membeli minuman, pencuci mulut dan makanan tambahan yang lain.

“Apabila sesuatu dipasarkan sebagai hanya tersedia ketika Ramadan, orang ramai lebih cenderung membelinya walaupun tidak merancang berbuat demikian,” katanya.

Ezlika berkata media sosial turut menyemarakkan perbelanjaan apabila hantaran tular, kandungan pempengaruh dan gambar barisan panjang mewujudkan persepsi bahawa sesuatu makanan berbaloi dibeli demi pengalaman, bukan sekadar untuk menghilangkan lapar.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 96,549 gerai beroperasi di bazar Ramadan dan Aidilfitri pada 2025, meningkat 11.5 peratus berbanding 2023, dengan jumlah jualan mencecah RM3.2 bilion.

Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 15,000 gerai, menyumbang jualan sebanyak RM667.9 juta.

Nasi Briyani Ghafur antara juadah yang menjadi pilihan pengunjung ketika tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 pada 19 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Ezlika berkata isi rumah secara amnya berbelanja lebih tinggi berbanding individu bujang kerana perlu menyediakan makanan untuk beberapa ahli keluarga serta kerap menerima tetamu. Golongan bekerja yang mempunyai kekangan masa untuk memasak juga cenderung membeli lebih bagi menampung keperluan keluarga serta sahur atau makanan keesokan hari.

Sebaliknya, individu bujang mungkin berbelanja lebih rendah secara keseluruhan, namun cenderung membuat pembelian spontan bagi setiap sesi berbuka.

“Mereka lebih kerap berbuka di luar, mengikuti rakan ke lokasi tular dan memilih pilihan yang mudah. Keputusan juga lebih spontan yang menyebabkan mereka mudah berbelanja, tak banyak jumlahnya tapi kerap, yang akhirnya terkumpul menjadi jumlah besar,” katanya.

Bagi mengawal perbelanjaan berlebihan, Ezlika mencadangkan perancangan awal menu, menetapkan bajet, mengehadkan variasi hidangan serta mengawal rentak pembelian.

Sebagai contoh, katanya, seseorang boleh membeli hidangan utama terlebih dahulu, berbuka puasa dan menunggu sebelum membuat keputusan membeli pencuci mulut atau tambahan lain bagi mengelakkan pembelian impulsif, sambil tetap menikmati semangat Ramadan.

Tetapkan bajet, elak pembelian panik

Sementara itu, Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA) turut mengenal pasti corak perbelanjaan rakyat Malaysia sepanjang Ramadan, apabila ramai cenderung “menghadiahkan” diri dengan makanan berlebihan selepas seharian berpuasa, dipengaruhi suasana perayaan, pilihan meluas di bazar serta promosi menarik.

Peniaga Akok Muhammad Farizol Anas Arias, 35, membuat kuih akok ketika tinjauan di Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 2 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Ketua Pegawai Operasinya, Nur Asyikin Aminuddin, berkata secara budaya, penyediaan juadah yang banyak sering dianggap sebahagian daripada sambutan, sedangkan tubuh badan tidak memerlukan jumlah makanan yang besar selepas berpuasa.

“Selalunya keinginan, bukan keperluan, yang mendorong peningkatan perbelanjaan. Ini boleh membawa kepada pembaziran makanan dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata pembaziran makanan lazimnya meningkat pada Ramadan akibat pembelian impulsif dan kecenderungan membeli secara berlebihan sebagai ‘gantian’ selepas berpuasa.

“Kepelbagaian juadah di bazar, promosi kombo di pasar raya serta suasana perayaan menggalakkan pembelian berlebihan. Apabila makanan tidak dapat dihabiskan, kadar pembaziran turut meningkat,” katanya.

Peniaga Borneo Kepak Madu, Nuraini membakar ayam madu ketika tinjauan Media Selangor di bazar Setia Alam Taipan, Selangor pada 19 Februari 2026.

Asyikin mengakui kenaikan harga sering berlaku pada awal Ramadan susulan permintaan pasaran yang tinggi, dan bukan semata-mata disebabkan pencatutan.

Beliau menyarankan pengguna merancang pembelian dengan teliti bagi mengelakkan pembelian panik serta mengambil langkah praktikal untuk mengekang perbelanjaan berlebihan.

“Rancang menu harian lebih awal, sediakan saiz hidangan yang realistik, tetapkan bajet dan patuhi senarai beli-belah. Elakkan membeli ketika terlalu lapar dan tumpukan kepada semangat kebersamaan, bukan kuantiti makanan.

“Tradisi keluarga yang bermakna dibina atas dasar perkongsian dan kesyukuran, bukan pembaziran,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.