TEHRAN, 2 MAC: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu ke atas Israel dengan menyasarkan pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu serta beberapa kemudahan ketenteraan utama.
IRGC memaklumkan operasi berkenaan turut menyasarkan ibu pejabat komander tentera udara Israel di Tel Aviv, selain lokasi keselamatan dan ketenteraan di bandar pelabuhan Haifa serta beberapa sasaran di timur Baitulmaqdis.
“Kami menyasarkan pejabat perdana menteri rejim Zionis di Tel Aviv serta ibu pejabat komander tentera udara Israel,” menurut kenyataan IRGC yang dipetik agensi berita Fars.
IRGC turut memaklumkan peluru berpandu balistik Kheibar digunakan dalam serangan tersebut.
Peluru berpandu yang diperkenalkan Iran pada 2023 itu dipercayai mempunyai jarak kira-kira 2,000 kilometer dan berkeupayaan membawa hulu ledak seberat sehingga 1,500 kilogram.
Sementara itu, tentera Israel mengesahkan pelancaran peluru berpandu dari Iran ke arah wilayah negara itu.
Tentera Israel turut memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara telah diaktifkan bagi memintas peluru berpandu yang masuk.
Serangan terbaharu itu berlaku susulan kempen serangan udara bersepadu oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada hujung minggu lalu yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei di Tehran.
Perkembangan itu menyaksikan konflik semakin meluas ke peringkat serantau apabila beberapa lokasi dikaitkan dengan tentera AS dan sekutunya turut dilaporkan menjadi sasaran, termasuk pangkalan udara Britain di Cyprus dan sebuah fasiliti minyak di Arab Saudi. - Agensi








