SHAH ALAM, 1 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Tabung Bantuan Perubatan (TBP) membantu lebih 84,000 pesakit dengan peruntukan berjumlah RM788 juta sejak diperkenalkan pada 2005.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap beban kewangan pesakit, khususnya yang memerlukan rawatan jangka panjang dan kos tinggi.
Beliau menegaskan TBP kekal sebagai instrumen sokongan kritikal kementerian bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada akses rawatan hanya disebabkan kekangan kewangan.
“Pada tahun lalu, 3,884 permohonan TBP diluluskan membabitkan peruntukan RM58.6 juta.
“Kelantan pula menduduki tempat kelima tertinggi menerima TBP dengan 345 kes diluluskan berjumlah RM4.66 juta,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) – Majlis Iftar Perdana di Masjid Al-Husna, di Kota Bharu hari ini, lapor Berita Harian.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, Hospital Raja Perempuan Zainab II mencatatkan kelulusan tertinggi di negeri itu iaitu 296 kes membabitkan RM3.13 juta.
Dr Dzulkefly berkata KKM akan terus memperkukuh pelaksanaan TBP bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan, selaras komitmen kerajaan memperkasa sistem kesihatan awam yang inklusif dan berdaya tahan.








