Mesyuarat khas MBPJ Rabu ini selesai isu banjir kilat Taman Buana Perdana

1 Mac 2026, 4:44 AM
Mesyuarat khas MBPJ Rabu ini selesai isu banjir kilat Taman Buana Perdana

PETALING JAYA, 2 MAC: Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon akan mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi pada Rabu bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir kilat berulang di Taman Buana Perdana.

Langkah itu diambil susulan hujan lebat pada 25 Februari lalu yang menyebabkan kawasan perumahan berkenaan dinaiki air.

Kejadian tersebut turut mencetuskan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) serta memaksa sebuah tadika di kawasan berkenaan ditutup sementara.

Mohamad Zahri berkata, mesyuarat yang dijadualkan pada jam 9 pagi itu akan melibatkan ketua jabatan serta pihak berkepentingan berkaitan.

“Kita perlu membuat penilaian menyeluruh terhadap masalah ini dan mencari penyelesaian yang berkesan,” katanya pada mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di ibu pejabatnya seperti dilaporkan Star Metro.

Beliau berkata pegawai telah diberi tempoh sehingga Rabu untuk mengumpul data berkaitan sebelum mesyuarat berlangsung.

Dalam mesyuarat itu, Ahli Majlis MBPJ, Norah Mansor menyuarakan kebimbangan apabila air banjir telah memasuki beberapa rumah, dewan komuniti dan sebuah tadika.

Menurutnya, Tadika Sinar Merah terpaksa ditutup sementara waktu untuk kerja-kerja pembersihan.

“Ini adalah isu keselamatan yang serius,” katanya.

Norah berkata antara punca dikenal pasti termasuk sistem perparitan lama, penyelenggaraan tidak mencukupi dan kekurangan kawasan lapang untuk penyerapan air.

Beliau turut menegaskan pembinaan penutup longkang kekal oleh penduduk menyukarkan kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

Dalam kejadian sama, SJK (T) Vivekananda di Seksyen 8 turut terjejas apabila dua bilik darjah pendidikan khas mengalami kerosakan akibat air naik kira-kira 30 sentimeter.

Pengerusi PIBG sekolah itu, Mohan Kumar berkata keadaan mungkin berpunca daripada aliran deras Sungai Klang ke Jalan Templer, memandangkan sekolah terletak di kawasan lebih rendah.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut melaporkan banjir kilat di susur pusingan U Taman Maju Jaya berhampiran Jalan Kelang Lama dalam insiden sama.

Apa reaksi anda?