60 peratus peruntukan untuk gaji guru, JAIS tegas perkasa pendidikan agama Selangor

2 Mac 2026, 3:00 AM
60 peratus peruntukan untuk gaji guru, JAIS tegas perkasa pendidikan agama Selangor

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan Negeri memberi perhatian besar terhadap institusi pendidikan agama termasuk emolumen guru, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad.

"Daripada peruntukan yang diluluskan, 60 peratus digunakan untuk bayar gaji guru. Ini langkah besar kepada pendidikan agama negeri meski urusan itu bawah kerajaan persekutuan," katanya.

Lebih 200 sekolah rendah agama (SRA) dan sekolah rendah agama integrasi (SRAI) di negeri ini terletak bawah pentadbiran JAIS.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau menjelaskan JAIS turut membantu guru mendapatkan laluan perjawatan lebih baik selain membangunkan prasarana institusi agama secara kerjasama dengan pelbagai institusi lain.

"Selain itu, sekitar 23 Sekolah Agama Bantuan Kerjaaan (SABK) sudah jadi sekolah JAIS tetapi guna skim guru daripada kementerian. Ini semua untuk menjaga penjawatan guru," katanya.

Menurut beliau, kejayaan institusi pendidikan agama juga hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor, Puzat Zakat Selangor dan Perbadanan Wakaf Selangor.

Selain itu, Mohd Shahzihan berkata lanjutan tempoh jawatan ahli jawatankuasa (AJK) masjid daripada tiga tahun kepada lima tahun bertujuan melancarkan lagi perancangan dan pelaksanaan program.

Beliau memberitahu tempoh lima tahun memberi ruang kepada AJK melunaskan perancangan secara tersusun dan berkesan tanpa kerap mengadakan proses pemilihan semula.

Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Abdulkarim Fatani Al-Makki mengimamkan solat Subuh pada Program Geng Subuh Macam Jumaat yang dihadiri lebih 3,000 jemaah pada 13 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA

Katanya, proses pencalonan dan pemilihan dibuat melibatkan ahli kariah berdaftar untuk memilih nazir, bendahari, setiausaha serta AJK selepas lima tahun.

"Kita cadangkan lima tahun supaya mereka boleh merancang dan melunaskan perancangan. Mana-mana yang tidak efektif, kita ambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Beliau juga menjelaskan pemilihan boleh dibuat melalui mesyuarat atau dibawa ke jawatankuasa timbang tara bagi jawatan kritikal selepas tempoh berkenaan berakhir.

"Selepas lima tahun ada pemilihan semula. Kalau masih orang yang sama tidak ada masalah, tetapi pencalonan dan pelantikan tetap perlu dibuat," katanya.

Katanya lagi, tindakan tidak diambil dengan menukar keseluruhan jawatankuasa jika ada kelemahan pengurusan, sebaliknya individu bermasalah akan diambil tindakan sewajarnya.

"Kalau ada kes disyaki menyeleweng misalnya, hantar kepada pihak berkuasa," katanya sambil mengingatkan mereka supaya tidak terlibat dalam politik kepartian.

Apa reaksi anda?