'Geng Raya Senteng' papar perpaduan kaum di Selangor

1 Mac 2026, 1:00 AM

KUALA LANGAT, 1 MAC: Iklan Aidilfitri bertajuk ‘Geng Raya Senteng’ terbitan Kerajaan Negeri tahun ini tampil membawa mesej perpaduan kaum yang utuh dalam kalangan rakyat Selangor.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata iklan berkenaan mengisahkan sebuah keluarga yang berdepan cabaran menjelang Syawal sebelum menerima bantuan jiran daripada pelbagai bangsa.

Menurutnya, mesej utama yang diketengahkan ialah semangat perpaduan serta sikap tolong-menolong yang sekian lama menjadi amalan masyarakat negeri ini.

“Wujudnya perpaduan yang begitu akrab dan baik khususnya rakyat Selangor berbilang kaum di kalangan orang Melayu, Cina, India dan orang Asli yang hidup harmoni.

ADN Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas sesi rakaman Iklan Raya Negeri Selangor 2026 di Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 28 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kami cuba memberi satu mesej supaya rakyat sedar bahawa kita dari dulu hingga sekarang masih lagi tolong-menolong, masih lagi hidup bersepakat dalam apa juga perayaan.

“Kita meraikan semua perayaan jadi inilah mesej yang ingin disampaikan,” katanya ketika ditemui Media Selangor di lokasi penggambaran di Teratak Shah Bonda, Kampung Batu Laut.

Beliau memberitahu iklan tersebut menampilkan barisan pelakon seperti Raja Azura dan Rusdi Ramli selain penampilan khas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya lagi, pembikinan ‘Geng Raya Senteng’ mengambil masa tiga hari penggambaran dengan penglibatan kru dan pelakon daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India, selari dengan tema perpaduan yang diketengahkan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan ADN Tanjong Sepat Datuk Borhan Aman Shah ketika sesi rakaman Iklan Raya Negeri Selangor 2026 di Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 28 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tahun ini kita tampil dengan kelainan apabila mesej disampaikan melalui format iklan, berbeza tiga tahun sebelum ini yang menggunakan pendekatan drama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Borhan memaklumkan rakaman takbir raya tahun ini turut membawa pembaharuan apabila dilaksanakan di Masjid Jamek Klang berbanding lokasi sebelum ini seperti kawasan sawah padi dan Bukit Melawati.

“Ini juga kita mahu menunjukkan bahawa perpaduan bersama dengan masyarakat khususnya daripada asnaf iaitu mualaf, yang hadir bersama kita buat rakaman takbir raya untuk Kerajaan Selangor,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tarikh dan waktu siaran iklan tersebut akan diumumkan kelak selepas perbincangan dimuktamadkan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Iklan ini akan ditayangkan menerusi platform rasmi RTM serta di Media Selangor menjelang Aidilfitri.