SHAH ALAM, 28 FEB: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melaksanakan dua sitaan barangan dalam operasi penguatkuasaan di Jalan Pos Baru selepas pemeriksaan mendapati premis beroperasi tanpa lesen sah serta menimbulkan halangan di tempat awam.
Menurut kenyataan di Facebook, premis terbabit gagal mematuhi syarat pelesenan dan meletakkan barangan perniagaan di kaki lima sehingga mengganggu laluan orang ramai.
“Tindakan sitaan dibuat di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 PTPP (MBDK) 2007 kerana beroperasi tanpa lesen yang sah serta di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan menimbulkan halangan di tempat awam,” menurut kenyataan itu.
Selain sitaan, satu Notis Niat Batal Lesen turut dikeluarkan kepada pemilik premis kerana melanggar syarat pelesenan.
Dalam operasi berasingan di Bandar Armada Putra, Pulau Indah, pemeriksaan terhadap premis kitar semula plastik susulan aduan awam mendapati premis itu menyimpan sekerap plastik tanpa lesen serta melonggokkan barangan di atas jalan raya sehingga menjejaskan kelancaran lalu lintas dan keselamatan penduduk.
Sehubungan itu, satu kompaun dikeluarkan di bawah UUK 3 PTPP (MBDK) 2007.
MBDK menegaskan pemantauan berterusan akan dipergiat dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan secara haram atau menyalahgunakan ruang awam.









